Thursday, May 24, 2012

Monolog Dengan Jiwa IV

Aku mula bicara dengan kata yang satu.

Dengan semangat kasih mesra sang pemuja cinta aku kembali ke dalam alam yang tiada penghujung rasa.

Terapung aku seperti manusia yang lemas di lautan oleh kasih dan sayangmu.

Namun hati ini masih lagi tidak mengucapkan kata cinta sepenuh bahasa.

Lumat dek awangan, hancur dek anganan, musnah dek impian.

Selalu terlihat oleh tabir Izrail, selalu terintai oleh rahmat Mikhail, aku terlupa antara masa dan rasa, antara kata dan jiwa, antara kasih dan cinta.

Ingin aku bercerita semula tentang rasa aku bersama Dia.

Ingin aku berkongsi kembali apabila tersentak hati kerana Dia.

Ingin aku asyik bersama cinta yang dikurnia Dia.

Selalu aku hilang di dalam dunia manusia kerana terlupa akan ketenangan yang dirasa.

Selalu aku hilang bersama manusia yang belum kenal akan Dia.

Selalu aku hilang didesak oleh manusia yang tidak punya rasa.

Selalu aku hilang kerana Dia izinkan aku hilang.

Tidak akan berlaku sesuatu itu jika tidak kerana Dia.

Aku kenal apabila mengenal, aku rasa apabila mula merasa, aku cinta apabila mula mencinta.

Dalam syukur tahmid aku sekali lagi menari di atas tali sufi yang menghadap cermin pada setiap penjuru mata.

Yang menari itu tertari dengan sendirinya, yang menyanyi itu ternyanyi dengan sendirinya, yang mencinta itu tercinta dengan sendirinya.

Sendirinya itu adalah hakikat sebenar Cinta yang Satu.

Binasa seluruh jiwa dan penyempurnaannya pabila terisi hati ini dengan satu perkenalan mula.

Terhela nafas dengan nikmat Rahman menjiwakan rasa dengan perasaan yang tiada.

Jasad ini, jiwa ini, hati ini, roh ini, bukanlah aku tetapi Dia.

Selama ini segalanya adalah Dia dan Dialah segalanya.

Tiada yang wujud kecuali Dia.

No comments: