Tuesday, February 22, 2011

Cinta akan Cinta I

Dengan nama Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani.

Telah datang satu bicara antara mereka yang mabuk di dalam cinta akan perihal Cinta. Telah wujud sejak sekian lama kisah cinta agung ini.

Antara kasih dan cinta yang agung bagi mereka yang memandang dengan hela nafas yang sama. Setiap hujung hembusan nafas adalah kalimah mulia yang menyebut hanya nama Cinta. Dan tidak ada yang lain selain dirinya yang selalu dicinta, dipuja, diletakkan pada tempat yang teratas.

Bicara mereka yang mabuk dengan kefanaan cinta membawa mereka untuk mencari, untuk kenal dengan Cinta. Mula pada Cinta itu adalah saat perkenalan yang pertama. Tidak akan datang selain kisah cinta ini melainkan dengan Cinta itu sendiri. Dan kenal akan Cinta itu adalah dengan kuasa Cinta itu sendiri.

Biarpun engkau lalai dengan Cinta. Meskipun engkau lupa akan Cinta. Walaupun engkau tidak pernah percaya akan Cinta.

Tetapi Cinta itu tidak pernah lupa.

Cinta itu tidak pernah lalai.

Kerana Cinta itu adalah hakikat.

Hakikat kepada keabadian seluruh alam. Dan setiap langkah, setiap nafas, setiap kata yang terucap tidak ada yang lain mampu untuk memungkinkannya melainkan dengan kuasa Cinta.

Dan kalimah cinta teragung itu adalah sebagai janji keramat yang terikat antara Cinta dan Sang Pencinta.

Wujud akan segala yang terpampang di hadapan mata adalah kerana Cinta. Tidak ada satupun yang mungkin kecuali dengan Cinta. Telah datang sekalian itu daripada Cinta dan kembalilah segalanya kepada Cinta.

Sekiranya engkau tidak kenal akan Cinta maka lihatlah aku, lihatlah dirimu, lihatlah sekalian alam; segalanya adalah Cinta. Kerana Cinta itu meliputi segala sesuatu.

Kerana Cinta itu adalah hakikat.

Dan abdikanlah diri ini demi kerana Cinta. Serahlah segalanya kepada Cinta untuk cinta. Akhir, sedarlah bahawa tiadalah sesuatu pun yang wujud kecuali Cinta.

Kenal akan diri. Kenal akan Cinta. Kenal akan Hakikat.

Dialah Cinta, Dialah Kebenaran Mutlak,
Dialah Cinta, Dialah Yang Menghidupkan,
Dialah Cinta, Dialah Yang Memelihara.

Sunday, February 20, 2011

Monolog Dengan Jiwa III

Hati aku sudah serasakan mati. Tidak aku jumpa lagi cahaya yang memungkinkan aku kembali melihat dunia. Semuanya menjadi kelam. Aku tidak lagi layak untuk dinamakan manusia. Mungkin sudah tiba masanya aku mengalah kalah semuanya. Bukan aku yang harus terus bertarung untuk terus menang. Mungkin tamat sudah segala yang aku usahakan. Tamat sebuah cerita yang tiada penghujungnya. Semua yang terpampang adalah dosa semata-mata. Tiada yang baik pernah dipandang mulia. Yang menjadi ukuran adalah sejauh mana keburukan yang telah dan pernah dikecapi. Adalah menjadi satu sukatan peribadi bagi setiap insan untuk meletakkan seseorang itu di kiri atau di kanan. Yang menjadi sukatan sering kali paparan pertama yang terfikirkan. Lesu, penat, letih. Usaha segalanya tidak beerti. Manusia masih mencari manusia yang ada kegunaannya. Manusia masih mencari manusia yang memberi untung kepadanya. Manusia sudah tidak menjadi manusia. Manusia sudah menjadi barang dagangan semata-mata. Indah sinar mata yang tidak kelihatan akibat ketamakan memuncak. Fikir yang sering kali kamu menjadi penunjuk kompas kepada si buta. Tetapi engkau yang buta ingin memimpin dunia. Sedarlah. Engkau belajar untuk menjadi apa yang engkau pelajari. Engkau berlari untuk mendapatkan apa yang engkau cari. Tetapi apa aku lihat hanya takbur, angkuh dan tamak dengan ilmu yang engkau ada, pangkat yang engkau ada dan ketaksuban orang-orang disekeliling engkau. Suburkan sifat kecelakaan kamu sehinggakan orang yang datang membawa serelung harapan dan keinginan untuk tahu engkau buang seperti sampah di jalanan. Engkau lebih bagus daripada yang lain. Di puncak piramid itulah takhta engkau. Tiada yang lebih atas daripada engkau. Kekecewaan yang aku alami hanyalah manifestasi kepada apa yang engkau hamparkan. Manifestasi kepada ilmu yang engkau perjuangkan. Wujud kecewa kerana wujud khilaf. Tetapi engkau tidak sedar dan masih mendabik dada mencari peluang untuk kemegahan. Dan akhirnya jadilah engkau sama seperti orang lain yang pernah engkau benci. Jadilah engkau seperti aku. Ke mana harus aku lontarkan kekecewaan aku terhadap manusia seperti ini. Aku tidak lagi mendongak ke langit. Aku tidak lagi mampu untuk tersenyum. Aku ingin kesudahan. Kerana aku sudah letih. Kerana aku sudah penat. Kerana aku sudah tidak punya apa-apa. Yang menjadi ukuran hanyalah ketaqwaan dan bukan kerana engkau tahu segalanya. Cukup. Henti. Diam.

Tenang.