Friday, January 14, 2011

Monolog Dengan Jiwa II

Aku melihat bukan lagi dengan satu pandangan perasaan yang sama. Jauh di dalam hati aku, aku tetap mengakui yang aku bersyukur dengan kehendak Yang Maha Esa. Menjadi hamba kepada Yang Maha Esa sering kali mengingatkan aku tentang hakikat yang sebenar. Yang segalanya adalah dari Dia dan satu pun tidak kerana kebenaran.

Aku menjadi perenung manusia. Terlalu sombong untuk mengatakan yang aku sebenarnya bukan lagi seperti mereka yang lain. Tetapi aku tetap bukan seperti mereka. Sikap manusia yang pelbagai menjadi cermin kepada diri aku sendiri. Ada kalanya terlalu hodoh untuk menatapnya. Dan adakalanya terlalu asyik. Cermin-cermin mimpi ini adalah ilusi yang mengkhayalkan supaya manusia itu semakin lupa kepada tujuan asalnya. Kadang kala aku adalah lebih hina dari mereka yang lain.

Keangkuhan mendabik dada sebagai yang mengetahui menjadi punca jatuhnya aku. Padahal, yang sebenarnya aku tidak tahu apa-apa sekalipun.

Mencari wajah Pencinta di dalam setiap amal menjadikan aku semakin hilang. Hilang kerana mengetahui yang aku bukanlah aku. Tetapi aku adalah engkau. Cuma aku yang tidak pernah tahu.

Kerana mabuk di dalam ilusi yang dihamparkan di atas muka bumi ini, manusia tidak lagi mahu menidakkan kebenaran. Sayang sekali apabila tidak mengetahui bahawa cahaya dan bayang itu adalah sama. Tiada cahaya, tiadalah bayang. Dan yang menggerakkan Pak Dogo dan watak-watak yang lain itu adalah Tok Dalang semata-mata. Dan bukannya ada sesiapa yang lain.

Kerap aku berjumpa manusia-manusia yang kecewa dengan dunia. Kecewa dengan diri sendiri. Kecewa dengan makhluk yang lain. Dan kerap kali juga aku tertanya adakah aku sendiri ini pun selalu kecewa. Jika aku kecewa dengan dunia, dengan diri sendiri, dengan makhluk yang lain adakah kerana aku beranggapan bahawa dunia itu sempurna, diri aku sempurna, ataupun makhluk yang lain itu sempurna. Sekiranya aku tahu yang memiliki kesempurnaan itu hanya Engkau, sudah tentu aku sedar yang lain itu tidak sempurna dan sudah tentu aku tidak akan kecewa.

Aku harus redha. Dan redha itu akan menjadikan aku di antara orang yang tenang.

"Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." Surah At-Taghabun Ayat 11