Sunday, November 28, 2010

Monolog Dengan Jiwa

Aku mencari di dalam erti kemanusiaan yang sejati. Terpana kata dalam melaksana setiap yang difikirkan munasabah oleh akal yang berfikir dengan mantik tersendiri. Aku melihat dosa yang nyata bukan dengan satu perasaan benci tetapi dengan satu keadaan kerisauan dan keresahan. Apa yang aku takutkan bukanlah mereka itu tetapi diri aku menjadi seperti mereka. Adakah aku lebih mulia dari mereka yang berdosa itu. Atau akal menafsir sesuatu yang janggal. Aku masih dalam kerisauan dan keresahan. Setiap kata yang terucap keluar dari mulut adalah seperti memanah matahari yang tiada peduli. Aku masih lagi seperti semalam. Aku mencari ke dalam lubuk hati aku sendiri tentang kata-kata yang terucap tanpa terima cinta. Adakah aku yang berada dalam kekalutan dan di mana pula aku berdiri. Adakah di sini? Adakah aku masih melihat dengan mata aku sendiri ataupun aku sudah sedar yang aku punya tiada apa kuasa sekalipun. Aku dengan segala hati ringkas menakhluk gelora jiwa yang tiada penghujungnya. Aku masih seperti dulu. Tiada rima yang sama menjelaskan setiap yang dinanti oleh penunggu jiwa yang tenang. Aku mencari satu kata pasti yang pada akhirnya akan menyakinkan aku bahawa segalanya akan menjadi sehabis baik. Aku tahu yang pada hakikat, makrifat bahawa segala yang terjadi, terjadi dengan hikmahnya, dan tidak akan bergerak satu zarah kecuali dengan izinNya. Aku sudah tiada apa. Aku tidak punya apa. Dan aku bukan aku yang sebenar kata. Jauh perjalanan cahaya ini meninggalkan tuannya. Jauh nyawa ini dari cahaya yang menyatukan kita semua. Dan aku rindu pada saat kembalinya cahaya ini kepada induknya. Moga kembali aku dengan keadaan redha dan diredhaiNya.