Thursday, October 07, 2010

Tengahari Khamis

Tatkala akal mentakwilkan alam, hati berbisik halus di antara nyawa dan mengindahkan lagi fana yang sekian lama dirunsingkan jiwa yang hiba. Aku bersatu dengan nahu yang satu mewujudkan kasih kepada yang Awal. Cinta bertiup bayu disisipkan rapi bersama kalimah agung yang diucapkan bersama. Indah seni tari menyembah bumi merunduk kepadaNya. Aku yang berkata atas niat yang tiada atau Kamu yang menghembuskan nyawa. Sudah lama bisikan jiwa bersama hawa yang bergelora di atas hamparan yang rata. Rama-rama yang terbakar akan sayap malamnya seringkali mentertawakan aku yang takut akan hampa. Jelas dalam jiwa bersinar cahaya keihsanan yang melayakkan hati bernyawa bersama. Tetapi akan cahaya itu semakin pudar semakin lama bukan kerana ketandusan tenaga. Tetapi akan cahaya itu semakin pudar kerana semakin kelam bekas yang menyimpan cahaya itu. Semakin bekas itu bernyawa semakin kelam cahaya jiwa itu. Gilapan-gilapan ilmu yang menyentuh akan bekas itu menjadi jaminan akan cahaya itu memberontak bersinar. Jangan dimomokkan lagi bekas itu dengan kata-kata nista yang menempel di ingatan sendiri. Jangan diigaukan bekas itu dengan mimpi kain kapas bersulam permata kaca. Dan bersinarlah jiwa itu dengan cahaya atas kurniaan daripadaNya. Binasalah segala kata yang terucap di atas nama Pencinta itu. Telah diilhamkan segenap jiwa akan yang bermula dari kanan atau yang kiri itu. Beruntunglah bagi hati yang mentaksir kurniaan ilham tersebut dengan mensucikannya. Dan apa lagi nikmat-nikmat itu yang mampu aku mendustakannya lagi?

No comments: