Monday, October 25, 2010

Gurindam Si Tua-Tua.

Engkau datang awal segala,
Mencari berkat segala dikerja,
Bukan sekadar mencari cerita,
Juga tersirat tersulam rahsia.

Aku menari rentak musik melodi,
Tari azimat yang aturnya sejak abadi,
Berputar bagaikan jam yang sonsang,
Aku mengikut segala lumrah alam.

Mata dipejam hati aku kelam,
Satu di kiri, satu di kanan,
Seribu di hadapan,
Satu juga di dalam.

Aku berjalan di atas bumi yang usang,
Terbit mentari dari arah yang sonsang,
Siulan keramat membawa angin,
Semua yang tinggal sudahpun hilang.

Langit hijau diangkat sumpah,
Bumi yang kuning dijuang sudah.
Merah yang datang bagaikan darah,
Siapa yang salah pastinya parah.

Aku dituju kepala batu,
Dalam isi tersimpan kuku.
Letakkan laga di atas badan,
Mana mungkin hadap ke depan.

Sejuta baris ke hujung dunia,
Satu garis membeza kita,
Yang di sana tentunya gembira,
Aku di sini dalam sengsara.

Kecil badan diulit dosa,
Nafsu gembira di atas mahkota,
Di mana adil sultannya hilang,
Dikabur kanta mata seorang.

Dicampak ke barat,
datang gembira,
Dilempar ke timur,
datang tertawa.

Jangan dilihat mata yang dua,
di dalam dada celikkan ia,
Yang cantik bukan permata,
Yang buruk bukanlah kaca.

Seni tari geraknya lima,
Lengkap dikata, didengar, dirasa,
Mulanya satu sebelum cahaya,
Akhirnya lima selepas cahaya.

Yang baca, nampaklah ia,
Yang nampak, fahamlah ia,
Yang faham, mengertilah ia,
Yang mengerti, sampaikanlah ia.

No comments: