Friday, March 19, 2010

Perjalanan Sang Pencari Cinta

Cenderawala kasih berpaksi kepada sinar cahaya cinta yang menafsir hari-hari berlalu sebagai keindahan semata. Aku yang bertanyakan pelangi malam tentang keindahan lampau seolah-olah dipermainkan ilusi hati. Diri yang dipenjara sendiri meronta-ronta meminta ilmu kasih disebarkan ke serata jiwa. Tertusuk hati dengan persepsi khayalan yang diadun oleh para penglipur lara menjadi punca keruntuhan tamadun cinta.

Telah aku berjalan di atas muka bumi ini dengan mata untuk melihat, dengan telinga untuk mendengar. Tetapi malangnya aku masih buta, masih tuli kerana yang sepatutnya mendengar, melihat, merasa adalah hati di dalam dada.

Apatah lagi nikmat Cinta yang telah aku dustakan?

Aku masih menjadi mereka yang tidak dapat melihat pada jalan yang terang. Ke mana perginya kasih yang aku cari sekiranya tidak dapat menjumpai cinta di dalam diri? Ke mana hilangnya punca akal jika hati tidak lagi diertikan.

Selama ini aku berjalan dengan niat mencari Cinta yang satu. Tetapi kini baru aku sedari yang Cinta berada dengan diri lebih dekat daripada jemari sendiri. Dan baru kini yang wujudnya aku adalah untuk mengenal Cinta.

Sepasang sayang ilmu bersama ketulusan jiwa yang meruntun kasih disalah erti sebagai nafsu yang menggila. Keindahan seni tari lukisan diri seringkali merungkaikan seribu bagai mimpi yang tiada bezanya dengan realiti. Apakah yang benar-benar benar?

Taksiran realiti jika diperletakkan kepada apa yang aku lihat, apa yang aku dengar, apa yang aku rasa, hanyalah translasi data-data yang diterjemah otak sahaja. Hakikat sebenar hakikat masih menjadi rahsia kepada diri. Dan berbekalkan kalimah agung yang menjadi pakaian kepada setiap jiwa dan nurani, aku berjalan mencari rahsia diri untuk mengenal Sang Pencinta.

Aku memohon tanpa henti agar dapat diperlihatkan jalan yang lurus lagi benar. Aku memohon lagi agar tidak terpesong dari ingatan yang satu. Dan aku tahu, sekiranya aku gagal menemukannya, sekurang-kurangnya aku telah cuba.

Kerana Cinta adalah hakikat...

No comments: