Friday, March 19, 2010

Perjalanan Sang Pencari Cinta

Cenderawala kasih berpaksi kepada sinar cahaya cinta yang menafsir hari-hari berlalu sebagai keindahan semata. Aku yang bertanyakan pelangi malam tentang keindahan lampau seolah-olah dipermainkan ilusi hati. Diri yang dipenjara sendiri meronta-ronta meminta ilmu kasih disebarkan ke serata jiwa. Tertusuk hati dengan persepsi khayalan yang diadun oleh para penglipur lara menjadi punca keruntuhan tamadun cinta.

Telah aku berjalan di atas muka bumi ini dengan mata untuk melihat, dengan telinga untuk mendengar. Tetapi malangnya aku masih buta, masih tuli kerana yang sepatutnya mendengar, melihat, merasa adalah hati di dalam dada.

Apatah lagi nikmat Cinta yang telah aku dustakan?

Aku masih menjadi mereka yang tidak dapat melihat pada jalan yang terang. Ke mana perginya kasih yang aku cari sekiranya tidak dapat menjumpai cinta di dalam diri? Ke mana hilangnya punca akal jika hati tidak lagi diertikan.

Selama ini aku berjalan dengan niat mencari Cinta yang satu. Tetapi kini baru aku sedari yang Cinta berada dengan diri lebih dekat daripada jemari sendiri. Dan baru kini yang wujudnya aku adalah untuk mengenal Cinta.

Sepasang sayang ilmu bersama ketulusan jiwa yang meruntun kasih disalah erti sebagai nafsu yang menggila. Keindahan seni tari lukisan diri seringkali merungkaikan seribu bagai mimpi yang tiada bezanya dengan realiti. Apakah yang benar-benar benar?

Taksiran realiti jika diperletakkan kepada apa yang aku lihat, apa yang aku dengar, apa yang aku rasa, hanyalah translasi data-data yang diterjemah otak sahaja. Hakikat sebenar hakikat masih menjadi rahsia kepada diri. Dan berbekalkan kalimah agung yang menjadi pakaian kepada setiap jiwa dan nurani, aku berjalan mencari rahsia diri untuk mengenal Sang Pencinta.

Aku memohon tanpa henti agar dapat diperlihatkan jalan yang lurus lagi benar. Aku memohon lagi agar tidak terpesong dari ingatan yang satu. Dan aku tahu, sekiranya aku gagal menemukannya, sekurang-kurangnya aku telah cuba.

Kerana Cinta adalah hakikat...

Friday, March 12, 2010

Biarkan Engkau Hadir

Terpatri sudah janji yang pada mulanya ditaksirkan sebagai satu kata-kata yakin tehadap penyaksian yang satu. Tatkala penyaksian dimulakan dengan satu pertanyaan tentang siapakah diri Sang Pencinta, aku mengaku dengan kata janji yang satu.

Dan bila sampai ke tempat yang diwujudkan sabagai satu ujian, masing-masing terlupa akan janji yang pertama. Tetapi dengan kasih serta sayang yang ada pada Sang Pencinta itu, dihadirkan kepada setiap kaum, setiap suku pembawa, penyebar Cinta. Dan tatkala itu diingatkan kembali tentang janji-janji yang pernah disaksikan.

Manusia memang benar mudah lupa.

Cahaya Yang Terpuji yang telah bersinar sejak mulanya alam ini sudah menghampiri hujungnya. Dan seperti mana ia bermula, begitu jugalah ia akan berakhir. Kerana sudah menjadi janjiNya bahawa setiap semua yang datang dariNya akan kembali kepadaNya.

Aku cuba untuk melihat dengan mata yang bukan berada di halaman muka. Tetapi setiap kali aku berhubung dengannya aku merasakan bahwa semakin hari semakin kelam. Aku tidak lagi ingat tentang siapa aku. Penyaksian terhadap diri sendiri adalah perkara yang pertama yang akan aku pilih.

Siapa aku untuk menidakkan kejadianNya?

Siapa aku untuk mengatasi janji-janjiNya?

Aku menghampiri hujung waktu setiap kali hembus nafas aku beralun. Tidak lagi akan aku sedar tentang datangnya segala milikan dunia untuk aku miliki. Gelap malam cerah kerana bintang yang satu. Nilai keramat insan adalah menjadi satu kilasan akhir dalam dunia fana. Lain tabir mimpi bersama cahaya yang satu. Membawa kasih yang tidak terkira musnah tatkala diri dapat mengenal sendiri.

Aku kecewa dengan janji-janji manusia.

Aku kecewa dengan kata-kata makhluk.

Dan digerakkan kata hati untuk mencari di mana letaknya bahagia kasih mengasih. Di mana letaknya ketenangan hati tatkala bicara cinta tidak kepada yang sepatutnya.

Hancur dan luluh.

Puncak kepada rindu mengasyikkan setiap yang bermula dari mim. Dan tidak lagi mulia gerak kaki musafir jika punca kasih adalah dari ratapan nafsu yang menggelora. Jiwa gelora mimpi menjadi sifat kasih sejati antara mimpi dan realiti.

Bagaimana rupanya mimpi jikalau realiti tidak kita ketahui.

Mungkin aku di dalam dunia mimpi selama ini.