Thursday, March 26, 2009

Sinar Pagi Yang Menghilang

Seri wajah pagi yang aku lihat semakin hari semakin pudar. Tiada man yang aku fikirkan kecuali keindahan sinarnya di waktu pagi. Sedih hati aku bila semakin hari semakin berkurangan nikmatnya. Sampaikan aku rasa yang ia sudah hilang semuanya. Aku masih berasa sedih dengan apa yang berlaku. Aku masih kecewa dengan diriku sendiri.

Semalam, aku tahu aku gembira.

Aku tahu aku bahagia.

Aku tahu aku miliki segalanya.

Dan aku tahu itu semua hanya sementara.

Tetapi, aku juga tahu, untuk seketika aku bahagia, akan ada ketikanya bila aku berduka.

Keindahan hidup ini bukanlah terletak pada kebahagiaan aku sendiri. Aku cuba mencari erti kebahagiaan tatkala orang lain yang berbahagia.

Bukannya aku.

Tersenyum aku keseorangan lagi. Aku merasakan pada waktu aku menaipkan segala apa yang aku rasa ini seperti suatu mimpi.

Hidup aku ini suatu mimpi. Mimpi yang tidak akan hilang sebelum jasad aku dikebumi.

Aku terasa amat keseorangan pada saat ini. Mungkin ini salah satu latihan untuk aku menghadapi saat dan ketika yang aku betul-betul keseorangan. Mungkin tidak juga kerana 2 malaikat yang menyoal aku nanti akan menemani aku.

Sungguh perlahan aku rasakan masa pada waktu ini berlalu. Sungguh terasa takut bila akan tibanya esok hari. Adakah sinar pagi yang aku rindui itu akan sempat aku temui lagi. Apa untungnya aku ini jika secebis senyuman pun tidak dapat aku terima daripada orang lain. Dari sahabat lain, dari insan lain. Mungin aku ini yang tidak pernah mengukirkan senyuman untuk mereka.

Jauh di dalam lubuk hati, aku masih lagi mencari. Masih lagi mencari bilakah akan terbitnya terang.

Sudah lama aku rasakan yang aku ini tahu tentang segalanya. Bila pada mana sahabat lain bertanyakan sesuatu, aku tahu sahaja jawapannya. Bukan kerana aku berlagak pandai. Bukan kerana aku mahu menunjuk-nunjuk. Tetapi kebetulan aku tahu pada jawapan tersebut. Bila aku bertanyakan soalan tentang diri aku sendiri, aku menjadi buntu. Seperti hilang punca, seperti hilang arah.

Aku masih lagi tidak dapat mencari sinar pagi tersebut.

Segala yang indah aku tahu semuanya kan berakhir. Aku tahu. Kerana apa yang aku inginkan bukannya yang kekal. Mengapa hati aku ini masih lagi buta. Setiap mana manusia lain yang aku telah bantu. Setiap mana manusia lain yang telah aku celikkan, aku masih tidak dapat bantu diri aku sendiri. Aku masih tidak dapat celikkan diri aku sendiri. Aku sedar aku manusia yang tidak punya apa.

Setiap mana garis kehidupan manusia lain yang pernah bersilang dengan aku, aku tahu setiap pada itulah yang mengariskan ia adlaah kuasa Yang Esa. Aku cuba semaikan dalam hati aku ini suatu peraaan kasih. Biar siapa pun yang aku kenal, biar siapa pun yang aku tidak pernah kenal. Biar siapapun yang aku tidak pernah jumpa sebelum ini. Aku ingin sayangkan mereka semua.

Bolehkah kita menyayangi seseorang yang seumur hidup kita yang tidak pernah kita temui sebelum ini?

Kalau tidak boleh, bagaimanakah aku hendak menyayangi Baginda?

Kalau tidak boleh, bagaimanakah aku hendak menyayangi Dia?

Kalau tidak boleh, bagaimanakah aku hendak menyayangi diri aku sendiri?

Biar siapapun kamu di luar sana, biarpun tidak pernah aku kenal, tidak pernah aku jumpa, tidak pernah aku sapa, tidak pernah aku tahu kewujudan kamu. Aku sayang pada kalian semua.

Selain dari (tidak mengerjakan amal-amal) itu, ia (tidak pula) menjadi dari orang-orang yang beriman dan berpesan-pesan dengan sabar serta berpesan-pesan dengan kasih sayang.

Surah al-Balad ayat 17