Tuesday, February 17, 2009

Apa Bezanya?

Kadang-kala apabila aku melihat diri aku sendiri aku menjadi takut. Takut dengan apa yang berlaku pada diri aku.

Apa yang aku paling takut adalah aku akan menjadi megah, takbur, riak dan sombong dengan apa yang aku ada pada sekarang ini dan mungkin yang akan datang.

Aku takut pabila aku mendapat satu jawatan, status yang tinggi dalam apa jua komuniti pun aku tidak mampu untuk melihat, mendengar dan berfikir dengan sewajarnya. Aku takut aku akan bermegah dengan status yang aku ada dan tidak mampu untuk hormat kepada orang lain. Aku takut aku akan melihat orang lain berada di bawah telapak kaki aku. Aku takut sekiranya aku memandang hina terhadap orang lain.

Aku takut.

Aku lihat. Aku pandang. Aku dengar. Dan aku fikir.

Aku mengaku yang adakalanya aku sendiri tidak terlepas dengan sikap-sikap tersebut. Adakalanya aku berbangga dengan pengalaman yang aku ada. Adakalanya aku berbangga dengan kemampuan aku untuk berfikir. Adakalanya aku berbangga dengan status aku. Dan aku kesal. Adakalanya aku tidak sengaja, dan adakalanya aku ingin menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Dan aku amat, amat kesal.

Aku cuma harapkan yang aku ini tidak akan menjadi seperti itu lagi.

Aku boleh sahaja untuk menjustifikasikan segala tindakan yang pernah aku lakukan dahulu. Aku boleh berikan seribu satu alasan untuk itu semua. Aku boleh memperkatakan apa sahaja.

Tetapi apakah niat aku sedemikian. Adakah aku benar-benar jujur tentang segala justifikasi aku tersebut. Walaupun aku cuba untuk jujur, kadang-kala jauh di sudut hati aku, aku masih lagi ingin berbangga. Aku masih inginkan orang lain memuji diri aku ini. Aku masih inginkan orang melihat aku lebih daripada orang lain.

Sikap taksub dan takbur aku kepada komuniti yang pernah aku terlibat sebelum ini menakutkan diri aku. Aku menjadi sangat bangga dengan komuniti tersebut. Segala apa yang aku lakukan semuanya untuk komuniti itu. Aku lihat komuniti-komuniti lain tidak lagi releven dan tidak setanding dengan komuniti aku itu.

Masa semakin berlalu dan sikap taksub dan takbur aku itu menjadi lebih liar. Aku lihat pula kepada mereka-mereka yang telah menggantikan tempat aku di komuniti tersebut tidak setanding aku. Mereka-mereka yang telah ataupun bakal mengantikan tempat yang aku tinggalkan itu tidak layak. Tidak mempunyai kemahiran, kemampuan dan semangat yang ada sebelum ini.

Secara ringkasnya, mereka-mereka itu aku anggap seperti sampah buangan.

Aku berasa sedih. Bukan dengan mereka-mereka itu tetapi dengan diri aku sendiri. Aku cuma tahu untuk memberikan persepsi aku sahaja. Tatkala aku mencemuh orang lain, aku menjadi bangga dengan diri aku sendiri.

Aku menjadi lebih sedih.

Lama aku fikirkan tentang perkara tersebut.

Lama aku kaji tentang sikap aku itu.

Tidak semena-mena aku teringat tentang satu kisah. Satu kisah pada mana dengan sikap riak dan takbur dengan status yang diperoleh, dia menjadi derhaka. Dengan sikap-sikap tersebut, semulia-mulia kejadian akhirnya menjadi yang paling hina. Aku tidak sedar pabila aku bersikap sedemikian, aku dan dia tiada bezanya. Suatu kisah yang bukan sekadar kisah yang pernah diberitahu lebih seabad lamanya dan terus akan kekal releven untuk selamanya.

Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam," maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takabbur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir.

(Surah Al-Baqarah: 34)

Allah berfirman: "Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah."

(Surah Al-A'raf: 12)

Pada waktu aku terbaca ayat-ayat tersebut, aku terfikir.

Apa bezanya aku dengan Iblis tatkala aku berbangga dengan diri aku sendiri?

Apa bezanya manusia dengan Iblis tatkala manusia itu bermegah dengan kelebihan diri?

Apa bezanya kamu dengan Iblis tatkala kamu fikir yang kamu lebih baik dari orang lain?

Apa bezanya?

Konsep yang ingin disampaikan adalah tentang takbur, tentang kemegahan. Tidak kira tentang unsur kejadian, tidak kira tentang kelebihan yang aku ada, tidak kira tentang ilmu, jawatan, status mahupun pengalaman yang aku ada.

Selagi mana aku tidak berubah, selagi mana aku tidak kesal, selagi mana aku tidak memohon keampunan, selagi itulah aku dan dia tidak ada bezanya.

Aku patut sedar segala yang ada pada diri aku ini bukanlah milik aku semuanya. Aku patut sedar yang perjalanan hidup aku ini terlalu singkat untuk aku mengejar yang sia-sia.

Aku berdoa kepada Yang Maha Esa supaya perjalanan hidup aku ini akan lebih panjang lagi karena terdapat terlalu banyak yang aku ingin ketahui dan terdapat terlalu banyak yang ingin aku tebus kembali.

Aku berdoa kepada Yang Maha Esa supaya aku dan dia ada bezanya.

Dan hanya keredhaanMu yang aku cari.

Hanya dengan izinMu segalanya berlaku.

No comments: