Tuesday, January 06, 2009

Dalam Mencari Sejuta Wajah - Bahagian I

Lama aku berfikir, lama aku mencari, lama aku termenung. Tiada yang lebih mengelirukan aku melainkan diri aku sendiri.

Terhenti sebentar jantung aku bila seorang sahabat aku memperkatakan "Ada juga benda yang kau tak tahu ya!"

Adakah soalan itu berbentuk sinis? Adakah sahabat aku cuba menegaskan sesuatu yang aku tidak nampak? Adakah sahabat aku bersikap jujur? Ataupun, hanya cuba menundukkan keangkuhan aku?

Aku tidak tahu.

Lama aku memikirkan ayat sahabat aku itu. Lama aku termenung. Lama aku mengimbas.

Dalam imbasan, aku teringatkan satu dilema yang pernah aku hadapi suatu ketika dahulu. Teringat tentang betapa takutnya aku pada suatu ketika dahulu. Teringat tentang satu soalan yang pernah menghantui diri aku.

Dan kini aku mahu berkongsi.

Satu soalan yang setiap dari kita bertanya. Namun berbeda bagi setiap dari kita yang bergelar makhluk.

Satu persoalan yang sering kali aku tertanya-tanya. Satu soalan yang membuatkan aku tidak tidur malam. Satu soalan yang tidak dapat aku lupakan. Satu soalan yang mencetuskan setiap tindakan aku. Satu soalan yang aku sendiri tidak dapat jawab.

Apa yang aku cari sebenarnya?

Apa yang aku cari sebenarnya?

Lama aku berfikir.

Aku mencari wang yang banyak. Aku ingin memiliki kereta mewah. Aku inginkan rumah yang indah. Aku inginkan teman wanita yang cantik. Aku inginkan itu. Aku inginkan ini. Dan pada waktu itu yang paling aku cari adalah keputusan perperiksaan yang terbaik. Bergraduat dengan cemerlang.

Kemudian, angan-angan dan realiti yang aku fantasikan terhenti. Terhenti dengan satu soalan yang aku tidak tahu siapa yang bisikkan.

Untuk apa?

Kerana dengan CGPA yang terbaik aku akan bergraduat dengan cemerlang. Dengan CGPA yang terbaik aku boleh mendapat kerjaya yang aku cita. Dengan kerjaya yang hebat aku boleh dapat wang.

Segalanya adalah tentang wang ringgit.

Kerana wang dapat memberikan apa yang aku mahu. Kerana kita perlu wang untuk hidup. Kerana wang aku akan dapat kereta mewah yang aku inginkan. Kerana wang aku boleh memiliki rumah yang besar dan indah. Kerana dengan wang aku boleh dapat teman wanita yang dapat memuaskan nafsu aku. Kerana dengan wang aku akan mendapat itu dan ini.

Kerana wang aku boleh memiliki segalanya.

Untuk apa?

Untuk terus hidup! Ya, dengan adanya wang ringgit, aku akan dapat hidup! Segalanya di dalam dunia ini perlukan wang! Dunia berputar kerana wang! Kita akan mati kalau tidak punya wang! Wang adalah segalanya!

Adakah dengan wang aku akan mendapat segalanya? Adakah duit akan memberikan aku kehidupan?

Adakah sekarang ini aku sedang percaya bahawa ada kuasa lain yang dapat memberikan suatu khasiat selain daripada Yang Maha Esa?

Adakah aku sudah bertuhankan wang ringgit?

Adakah...

Aku sudah syirik?

Tidak akan bergerak walau satu zarah dalam alam ini kecuali dengan izin Allah.

Aku termenung seketika. Aku mengucapkan dua kalimah syahadah sendiri. Kemudian aku terfikir.

Dua kalimah itu pun tidak aku faham maksudnya di sebaliknya. Yang aku tahu cuma alih bahasanya sahaja.

Perjalanan yang semakin jauh ini tiba-tiba kelihatan tiada penghujung. Masa semakin meninggalkan aku. Aku menjadi takut.

Takut kerana aku tidak tahu apa yang aku cari. Takut kerana masih banyak lagi perkara yang aku tidak tahu, yang aku tidak faham.

Matlamat utama dalam hidup aku pada waktu itu adalah mencari jawapan untuk soalan tersebut. Aku harus tahu apa yang aku cari sebenarnya. Aku harus mencari apa yang perlu aku cari. Aku tidak akan berehat sehingga aku menjumpainya.

Aku harus cari apa yang harus aku cari. Dan aku telah berjanji dengan diri aku sendiri yang aku tidak akan bergraduat sebelum aku tahu apa yang aku harus cari. Biar dengan apa cara sekalipun, aku harus bergraduat dengan sekurang-kurangnya tahu apa yang aku patut cari. Kerana aku percaya, hanya di tempat berkumpulnya para ilmuan, aku boleh mencari.

Maka aku mula mencari apa yang harus aku cari.