Thursday, November 12, 2009

Nak Apa Sebenarnya?

A: Jom kita belajar untuk kenal Dia,
B: Tak boleh, aku sibuk hari ni...

Sibuk sebab belajar,
Belajar sebab nak exam,
exam sebab nak dapat markah paling tinggi,
nak markah paling tinggi sebab nak cgpa power,
nak cgpa power sebab nak kerja best,
nak kerja best sebab nak duit byk,
nak duit byk sebab nak beli macam-macam,
nak beli macam-macam sebab nak rasa puas,
nak rasa puas sebab nak tenangkan diri,
nak tenangkan diri sebab diri tak tenang,
diri tak tenang sebab tak kenal Dia,
tak kenal Dia sebab tak ada ilmu,
tak ada ilmu sebab tak belajar,
tak belajar sebab takut,
takut sebab tak tahu,
tak tahu sebab sesat,
sesat sebab tak tanya,
tak tanya sebab malu,
malu sebab ego,
ego sebab tak sedar diri,
tak sedar diri sebab sombong.

dan sebab sombonglah maka dengan itu makhluk itu dibuang daripada dakapan Kasih Sayang. Masing-masing dibuang daripada dakapan Kasih Sayang, dan masing-masing mahu mencari jalan pulang. Jalan pulang ke tempat asal. Dalam proses untuk mencari jalan pulang, ramai yang menjadi lupa, ramai yang menjadi lalai, dan ramai juga yang menjadi engkar. Dari satu tempat yang kekal dan kini kita di tempat yang sementara. Malangnya, tempat yang sementara inilah yang dijadikan rebutan, takhlukan, jajahan, pemilikan. Dan tempat yang kekal kita makin lupakan. Dan kita berhenti usaha untuk mencari jalan pulang dan melatalah manusia di bumi ini meluaskan jajahan dan takhlukan. Masing-masing mencari sesuatu untuk dikatakan 'Ini aku punya! Itu aku punya!'

Itu sahajalah kisah manusia yang tidak mencari jalan pulang.

Saturday, October 31, 2009

Gerak Daya Maju

Aku ada berfikir baru-baru ini yang singkat sekali waktu aku bersama-sama aku. Masa yang ada banyak diluangkan dengan orang lain dan bukannya dengan diri aku sendiri. Tidak pernah aku terfikir untuk melayan diri aku ini seperti aku melayan orang lain. Memprojeksikan diri sebagai orang ke-tiga, entiti yang berlainan dengan diri sendiri.

Barangkali ramai yang memikirkan betapa karutnya pemikiran aku pada hari ini. Tetapi itu yang aku rasakan dan itu yang aku luahkan. Barangkali dengan mewujudkan diri aku di luar diri aku, aku mampu melihat segala cacat-cela yang aku selama ini fikirkan sempurna. Dengan melihat tingkah laku aku sendiri mungkin aku menjadi jengkel. Mungkin dengan ini aku dapat membaiki kesilapan diri. Dengan merasai apa yang orang lain rasa mungkin aku dapat berfikir.

Fikir.

Apa yang aku fikirkan?

Tidak mungkin aku ada dua kerana aku adalah satu.

Tak mungkin aku satu kerana aku ramai.

Tak mungkin aku ramai kerana semuanya adalah satu.

Mungkin aku ingin kenal diri ini dengan serata-ratanya.

Saturday, September 12, 2009

Sayang

Seringkali aku amati pasangan suami isteri, pasangan kekasih berberkasih. Dan kadangkala aku hairan mengapa mereka boleh bertengkar, bergaduh, bercerai, memaki hamun dan sebagainya. Tidakkah mereka sayang sesama mereka? Tidakkah mereka kasih antara mereka?

Aku lihat dan aku faham tentang konsep sayang ini mungkin orang lain akan katakan mustahil, mungkin orang lain kata yang ia hanya wujud dalam cerita dongeng, mungkin orang akan menampar aku dan katakan, "Bangun dan lihat dunia yang sebenar!" tetapi ini adalah aku.

Jika hendak sayang, sayanglah dengan ar-Rahman.
Jika hendak kasih, kasihlah dengan ar-Rahim

Bagaimana hendak sayang dengan ar-Rahman, berkasih dengan ar-Rahim?

Tatkala anda tahu yang sayang anda itu ikhlas...

Pabila sayang yang diberikan itu tidak perlu apapun sebagai timbal balasnya

Anda masih sayang, bila dia tidak lagi sayang pada anda
Anda masih kasih, bila dia tidak lagi kasih pada anda
Anda masih mampu tersenyum walau dia bermasam terhadap anda
Anda masih mampu sayang walaupun dia benci kepada anda
Anda masih menerimanya dalam apa jua keadaan

Kerna sayang anda tidak perlukan hadiah dari dia
Kerna sayang anda tidak perlukan ucap kasih dari dia
Kerna sayang anda tidak perlukan sayang dari dia
Kerna kasih anda tidak perlukan kasih dari dia
Kerna sayang anda adalah semata-mata kerna anda sayang.

Tidakkah indah dunia ini dengan kasih sayang yang sebegitu?

Jika orang lain katakan aku ini hidup dalam dunia fantasi,
Maka marilah bersama ke dalam dunia fantasi aku ini.

Sunday, August 23, 2009

Mana Nak Pergi?

Semua orang nak masuk Syurga.

Tapi nak masuk kena la mati dulu.

Tapi nak mati takut la pulak.

Nak masuk Syurga ke tak nak?

Kalau tak nak, nak pergi mana?

Thursday, April 16, 2009

Why?

Your inner eye has clouded over so much that it’s impossible for you to see.
Does any emotion still reside within the depths of your heart?

Having the entire world at your fingertips,
Is that what you consider happiness?

Why? Why do look up into the lonely heavens?
Why? Can’t you laugh a little?
I understand this character of yours –
This disposition that is incapable of putting anything into words.

What was it that came to be in your sequestered past?
These eyes of yours, they refuse to meet the world.

All alone with only the lonely night to cradle you,
Is this the warmth that you have come to know?

Why? Why are you so concerned with the way you look?
Why? Can you not open up your heart a little?
You’ve been taxed by this heavy burden for so long,
It’s time that you learn to accept yourself.
Have more faith in yourself...

It is those who are free that are stumbling...
It is those who are free that are insecure...

Why? Why do you look up at the lonely sky?
Why? Can you not laugh, even slightly?
I can appreciate
This reticent character of yours.
You only have to try to believe...

Thursday, March 26, 2009

Sinar Pagi Yang Menghilang

Seri wajah pagi yang aku lihat semakin hari semakin pudar. Tiada man yang aku fikirkan kecuali keindahan sinarnya di waktu pagi. Sedih hati aku bila semakin hari semakin berkurangan nikmatnya. Sampaikan aku rasa yang ia sudah hilang semuanya. Aku masih berasa sedih dengan apa yang berlaku. Aku masih kecewa dengan diriku sendiri.

Semalam, aku tahu aku gembira.

Aku tahu aku bahagia.

Aku tahu aku miliki segalanya.

Dan aku tahu itu semua hanya sementara.

Tetapi, aku juga tahu, untuk seketika aku bahagia, akan ada ketikanya bila aku berduka.

Keindahan hidup ini bukanlah terletak pada kebahagiaan aku sendiri. Aku cuba mencari erti kebahagiaan tatkala orang lain yang berbahagia.

Bukannya aku.

Tersenyum aku keseorangan lagi. Aku merasakan pada waktu aku menaipkan segala apa yang aku rasa ini seperti suatu mimpi.

Hidup aku ini suatu mimpi. Mimpi yang tidak akan hilang sebelum jasad aku dikebumi.

Aku terasa amat keseorangan pada saat ini. Mungkin ini salah satu latihan untuk aku menghadapi saat dan ketika yang aku betul-betul keseorangan. Mungkin tidak juga kerana 2 malaikat yang menyoal aku nanti akan menemani aku.

Sungguh perlahan aku rasakan masa pada waktu ini berlalu. Sungguh terasa takut bila akan tibanya esok hari. Adakah sinar pagi yang aku rindui itu akan sempat aku temui lagi. Apa untungnya aku ini jika secebis senyuman pun tidak dapat aku terima daripada orang lain. Dari sahabat lain, dari insan lain. Mungin aku ini yang tidak pernah mengukirkan senyuman untuk mereka.

Jauh di dalam lubuk hati, aku masih lagi mencari. Masih lagi mencari bilakah akan terbitnya terang.

Sudah lama aku rasakan yang aku ini tahu tentang segalanya. Bila pada mana sahabat lain bertanyakan sesuatu, aku tahu sahaja jawapannya. Bukan kerana aku berlagak pandai. Bukan kerana aku mahu menunjuk-nunjuk. Tetapi kebetulan aku tahu pada jawapan tersebut. Bila aku bertanyakan soalan tentang diri aku sendiri, aku menjadi buntu. Seperti hilang punca, seperti hilang arah.

Aku masih lagi tidak dapat mencari sinar pagi tersebut.

Segala yang indah aku tahu semuanya kan berakhir. Aku tahu. Kerana apa yang aku inginkan bukannya yang kekal. Mengapa hati aku ini masih lagi buta. Setiap mana manusia lain yang aku telah bantu. Setiap mana manusia lain yang telah aku celikkan, aku masih tidak dapat bantu diri aku sendiri. Aku masih tidak dapat celikkan diri aku sendiri. Aku sedar aku manusia yang tidak punya apa.

Setiap mana garis kehidupan manusia lain yang pernah bersilang dengan aku, aku tahu setiap pada itulah yang mengariskan ia adlaah kuasa Yang Esa. Aku cuba semaikan dalam hati aku ini suatu peraaan kasih. Biar siapa pun yang aku kenal, biar siapa pun yang aku tidak pernah kenal. Biar siapapun yang aku tidak pernah jumpa sebelum ini. Aku ingin sayangkan mereka semua.

Bolehkah kita menyayangi seseorang yang seumur hidup kita yang tidak pernah kita temui sebelum ini?

Kalau tidak boleh, bagaimanakah aku hendak menyayangi Baginda?

Kalau tidak boleh, bagaimanakah aku hendak menyayangi Dia?

Kalau tidak boleh, bagaimanakah aku hendak menyayangi diri aku sendiri?

Biar siapapun kamu di luar sana, biarpun tidak pernah aku kenal, tidak pernah aku jumpa, tidak pernah aku sapa, tidak pernah aku tahu kewujudan kamu. Aku sayang pada kalian semua.

Selain dari (tidak mengerjakan amal-amal) itu, ia (tidak pula) menjadi dari orang-orang yang beriman dan berpesan-pesan dengan sabar serta berpesan-pesan dengan kasih sayang.

Surah al-Balad ayat 17

Tuesday, February 17, 2009

Apa Bezanya?

Kadang-kala apabila aku melihat diri aku sendiri aku menjadi takut. Takut dengan apa yang berlaku pada diri aku.

Apa yang aku paling takut adalah aku akan menjadi megah, takbur, riak dan sombong dengan apa yang aku ada pada sekarang ini dan mungkin yang akan datang.

Aku takut pabila aku mendapat satu jawatan, status yang tinggi dalam apa jua komuniti pun aku tidak mampu untuk melihat, mendengar dan berfikir dengan sewajarnya. Aku takut aku akan bermegah dengan status yang aku ada dan tidak mampu untuk hormat kepada orang lain. Aku takut aku akan melihat orang lain berada di bawah telapak kaki aku. Aku takut sekiranya aku memandang hina terhadap orang lain.

Aku takut.

Aku lihat. Aku pandang. Aku dengar. Dan aku fikir.

Aku mengaku yang adakalanya aku sendiri tidak terlepas dengan sikap-sikap tersebut. Adakalanya aku berbangga dengan pengalaman yang aku ada. Adakalanya aku berbangga dengan kemampuan aku untuk berfikir. Adakalanya aku berbangga dengan status aku. Dan aku kesal. Adakalanya aku tidak sengaja, dan adakalanya aku ingin menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Dan aku amat, amat kesal.

Aku cuma harapkan yang aku ini tidak akan menjadi seperti itu lagi.

Aku boleh sahaja untuk menjustifikasikan segala tindakan yang pernah aku lakukan dahulu. Aku boleh berikan seribu satu alasan untuk itu semua. Aku boleh memperkatakan apa sahaja.

Tetapi apakah niat aku sedemikian. Adakah aku benar-benar jujur tentang segala justifikasi aku tersebut. Walaupun aku cuba untuk jujur, kadang-kala jauh di sudut hati aku, aku masih lagi ingin berbangga. Aku masih inginkan orang lain memuji diri aku ini. Aku masih inginkan orang melihat aku lebih daripada orang lain.

Sikap taksub dan takbur aku kepada komuniti yang pernah aku terlibat sebelum ini menakutkan diri aku. Aku menjadi sangat bangga dengan komuniti tersebut. Segala apa yang aku lakukan semuanya untuk komuniti itu. Aku lihat komuniti-komuniti lain tidak lagi releven dan tidak setanding dengan komuniti aku itu.

Masa semakin berlalu dan sikap taksub dan takbur aku itu menjadi lebih liar. Aku lihat pula kepada mereka-mereka yang telah menggantikan tempat aku di komuniti tersebut tidak setanding aku. Mereka-mereka yang telah ataupun bakal mengantikan tempat yang aku tinggalkan itu tidak layak. Tidak mempunyai kemahiran, kemampuan dan semangat yang ada sebelum ini.

Secara ringkasnya, mereka-mereka itu aku anggap seperti sampah buangan.

Aku berasa sedih. Bukan dengan mereka-mereka itu tetapi dengan diri aku sendiri. Aku cuma tahu untuk memberikan persepsi aku sahaja. Tatkala aku mencemuh orang lain, aku menjadi bangga dengan diri aku sendiri.

Aku menjadi lebih sedih.

Lama aku fikirkan tentang perkara tersebut.

Lama aku kaji tentang sikap aku itu.

Tidak semena-mena aku teringat tentang satu kisah. Satu kisah pada mana dengan sikap riak dan takbur dengan status yang diperoleh, dia menjadi derhaka. Dengan sikap-sikap tersebut, semulia-mulia kejadian akhirnya menjadi yang paling hina. Aku tidak sedar pabila aku bersikap sedemikian, aku dan dia tiada bezanya. Suatu kisah yang bukan sekadar kisah yang pernah diberitahu lebih seabad lamanya dan terus akan kekal releven untuk selamanya.

Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam," maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takabbur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir.

(Surah Al-Baqarah: 34)

Allah berfirman: "Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah."

(Surah Al-A'raf: 12)

Pada waktu aku terbaca ayat-ayat tersebut, aku terfikir.

Apa bezanya aku dengan Iblis tatkala aku berbangga dengan diri aku sendiri?

Apa bezanya manusia dengan Iblis tatkala manusia itu bermegah dengan kelebihan diri?

Apa bezanya kamu dengan Iblis tatkala kamu fikir yang kamu lebih baik dari orang lain?

Apa bezanya?

Konsep yang ingin disampaikan adalah tentang takbur, tentang kemegahan. Tidak kira tentang unsur kejadian, tidak kira tentang kelebihan yang aku ada, tidak kira tentang ilmu, jawatan, status mahupun pengalaman yang aku ada.

Selagi mana aku tidak berubah, selagi mana aku tidak kesal, selagi mana aku tidak memohon keampunan, selagi itulah aku dan dia tidak ada bezanya.

Aku patut sedar segala yang ada pada diri aku ini bukanlah milik aku semuanya. Aku patut sedar yang perjalanan hidup aku ini terlalu singkat untuk aku mengejar yang sia-sia.

Aku berdoa kepada Yang Maha Esa supaya perjalanan hidup aku ini akan lebih panjang lagi karena terdapat terlalu banyak yang aku ingin ketahui dan terdapat terlalu banyak yang ingin aku tebus kembali.

Aku berdoa kepada Yang Maha Esa supaya aku dan dia ada bezanya.

Dan hanya keredhaanMu yang aku cari.

Hanya dengan izinMu segalanya berlaku.

Thursday, February 05, 2009

Cantik

Orang di Utara bilang,
Bintang itu cantik,

Aku diam...

Orang di Selatan bilang,
Gunung itu cantik,

Aku diam...

Orang di Timur bilang,
Mentari itu cantik,

Aku diam...

Orang di Barat bilang,
Laut itu cantik,

Aku diam...

Orang di Utara, Selatan, Timur dan Barat,
Mereka semuanya terdiam,

Tatkala aku bilang,

Hanya Engkau yang cantik...

Sunday, February 01, 2009

Dalam Mencari Sejuta Wajah - Bahagian II

Tinggi langit bersama mimpi,
Siang hari masih di sini,
Tiada teman datang bertandang,
Cuba lihat akukah yang datang.

Laman hijau disakti cahaya,
Hilang jasad ditelan Haq,
Kenal Aku kenal dirimu,
Di dalam Aku tinggal segala.

Mimpi diulit raja sang mimpi,
Yang lihat ada tetapi di mana,
Mana kau tanya bukan siapa,
Kesal kamu Aku serata.

Kamu melihat bukan kamu,
Kamu berdiri bukan kamu,
Kamu berkata bukan kamu,
Siapa kamu di hujung kamu.

Tujuh jalan bermula Nafs,
Jalan mula letaknya tujuh,
Dari gelap gelita hampa,
terbit terang di retakan jiwa.

Aku mencari segenap alam,
dapatkah aku rahsia aku,
Rahsia tersemat di depan mata,
Adakah aku masih si buta.

Lambat langkah bersama helah,
Luar langkah dipecah-pecah,
Dalam buah tersimpan mudah,
Aku amuk merubah arah.

Aku ingin mencari sinar,
Tenangkan hati bersama Dia,
Wahai jiwa-jiwa yang tenang,
Adakah aku yang dimaksud sudah?

Ingin kenal yang pasti,
Ingin terima yang diberi,
Ingin berlari bersama cinta,
Aku masih di sini lagi.

Akulah hama di sebelah hama,
Tiada banding hakikat cinta,
Lama kurenung alam semesta,
Lama kuletak dahi serata.

Air mata bersama kesal,
Air mata bersama rindu,
Air mata bersama sedar,
Air mata binasa semua.

Tuesday, January 06, 2009

Dalam Mencari Sejuta Wajah - Bahagian I

Lama aku berfikir, lama aku mencari, lama aku termenung. Tiada yang lebih mengelirukan aku melainkan diri aku sendiri.

Terhenti sebentar jantung aku bila seorang sahabat aku memperkatakan "Ada juga benda yang kau tak tahu ya!"

Adakah soalan itu berbentuk sinis? Adakah sahabat aku cuba menegaskan sesuatu yang aku tidak nampak? Adakah sahabat aku bersikap jujur? Ataupun, hanya cuba menundukkan keangkuhan aku?

Aku tidak tahu.

Lama aku memikirkan ayat sahabat aku itu. Lama aku termenung. Lama aku mengimbas.

Dalam imbasan, aku teringatkan satu dilema yang pernah aku hadapi suatu ketika dahulu. Teringat tentang betapa takutnya aku pada suatu ketika dahulu. Teringat tentang satu soalan yang pernah menghantui diri aku.

Dan kini aku mahu berkongsi.

Satu soalan yang setiap dari kita bertanya. Namun berbeda bagi setiap dari kita yang bergelar makhluk.

Satu persoalan yang sering kali aku tertanya-tanya. Satu soalan yang membuatkan aku tidak tidur malam. Satu soalan yang tidak dapat aku lupakan. Satu soalan yang mencetuskan setiap tindakan aku. Satu soalan yang aku sendiri tidak dapat jawab.

Apa yang aku cari sebenarnya?

Apa yang aku cari sebenarnya?

Lama aku berfikir.

Aku mencari wang yang banyak. Aku ingin memiliki kereta mewah. Aku inginkan rumah yang indah. Aku inginkan teman wanita yang cantik. Aku inginkan itu. Aku inginkan ini. Dan pada waktu itu yang paling aku cari adalah keputusan perperiksaan yang terbaik. Bergraduat dengan cemerlang.

Kemudian, angan-angan dan realiti yang aku fantasikan terhenti. Terhenti dengan satu soalan yang aku tidak tahu siapa yang bisikkan.

Untuk apa?

Kerana dengan CGPA yang terbaik aku akan bergraduat dengan cemerlang. Dengan CGPA yang terbaik aku boleh mendapat kerjaya yang aku cita. Dengan kerjaya yang hebat aku boleh dapat wang.

Segalanya adalah tentang wang ringgit.

Kerana wang dapat memberikan apa yang aku mahu. Kerana kita perlu wang untuk hidup. Kerana wang aku akan dapat kereta mewah yang aku inginkan. Kerana wang aku boleh memiliki rumah yang besar dan indah. Kerana dengan wang aku boleh dapat teman wanita yang dapat memuaskan nafsu aku. Kerana dengan wang aku akan mendapat itu dan ini.

Kerana wang aku boleh memiliki segalanya.

Untuk apa?

Untuk terus hidup! Ya, dengan adanya wang ringgit, aku akan dapat hidup! Segalanya di dalam dunia ini perlukan wang! Dunia berputar kerana wang! Kita akan mati kalau tidak punya wang! Wang adalah segalanya!

Adakah dengan wang aku akan mendapat segalanya? Adakah duit akan memberikan aku kehidupan?

Adakah sekarang ini aku sedang percaya bahawa ada kuasa lain yang dapat memberikan suatu khasiat selain daripada Yang Maha Esa?

Adakah aku sudah bertuhankan wang ringgit?

Adakah...

Aku sudah syirik?

Tidak akan bergerak walau satu zarah dalam alam ini kecuali dengan izin Allah.

Aku termenung seketika. Aku mengucapkan dua kalimah syahadah sendiri. Kemudian aku terfikir.

Dua kalimah itu pun tidak aku faham maksudnya di sebaliknya. Yang aku tahu cuma alih bahasanya sahaja.

Perjalanan yang semakin jauh ini tiba-tiba kelihatan tiada penghujung. Masa semakin meninggalkan aku. Aku menjadi takut.

Takut kerana aku tidak tahu apa yang aku cari. Takut kerana masih banyak lagi perkara yang aku tidak tahu, yang aku tidak faham.

Matlamat utama dalam hidup aku pada waktu itu adalah mencari jawapan untuk soalan tersebut. Aku harus tahu apa yang aku cari sebenarnya. Aku harus mencari apa yang perlu aku cari. Aku tidak akan berehat sehingga aku menjumpainya.

Aku harus cari apa yang harus aku cari. Dan aku telah berjanji dengan diri aku sendiri yang aku tidak akan bergraduat sebelum aku tahu apa yang aku harus cari. Biar dengan apa cara sekalipun, aku harus bergraduat dengan sekurang-kurangnya tahu apa yang aku patut cari. Kerana aku percaya, hanya di tempat berkumpulnya para ilmuan, aku boleh mencari.

Maka aku mula mencari apa yang harus aku cari.