Wednesday, December 17, 2008

Sekadar Ingatan....

Sudah lama aku tidak menulis. Sudah lama aku lupa. Lupa tentang diri aku sendiri, lupa tentang asal aku. Lupa tentang apa yang berlaku selama ini. Aku sering kali mudah lupa dengan apa yang aku ada. Sudah tiada baru aku mengingat tentangnya kembali. Sungguh indah perkara yang telah lalu. Sungguh cantik tentang apa yang aku lupa.

Semakin hari aku cuba ingat tentang apa yang pernah aku katakan. Aku cuba ingat kembali tentang kata-kata aku yang belum sempat aku kotakan. Aku cuba ingat kembali tentang janji-janji yang sering aku mungkiri. Aku cuba ingat kembali mereka pernah aku sakiti sebelum ini.

Mengingatkan tentang perkara-perkara indah sangat mudah. Apabila cuba ingat kembali perkara-perkara yang aku mahu lupakan, adalah amat malu diri ini. Sering kali tersenyum membayangkan betapa bodohnya diri ini satu ketika dahulu. Adakah aku sudah pandai sekarang ini? Hah, tidak sekelumit pun berubah. Masih lagi seperti dulu.

Aku mampu tersenyum sahaja.

Aku mahu mengingatkan tentang diri aku sendiri tentang kelemahan, keburukan aku sendiri. Tentang kebaikan dan selainnya? Biarkan sahaja. Teringatkan yang baik-baik sahaja, aku mungkin menjadi riak, bongkak, takbur dan angkuh. Teringatkan yang baik-baik sahaja, mana hilangnya keikhlasan aku. Teringatkan yang baik-baik sahaja, sampai bila aku tidak belajar.

Biarlah aku menyesal tentang apa yang perkara yang tidak patut aku lakukan. Sekurang-kurangnya aku mempunyai peringatan supaya tidak mengulanginya.

Tetapi, aku cepat lupa...