Friday, August 15, 2008

Termenung Lagi

Aku dalam kebingungan sekarang ini. Aku tidak tahu apa yang aku mahukan. Segalanya tidak lagi seperti mana yang aku inginkan. Lihat ke bawah dan aku masih lihat yang kedua kaki aku masih lagi berpijak di atas muka bumi yang selama ini aku tidak pernah hiraukan.

Aku termenung sejenak.

Selama mana yang aku ingat, selama mana yang aku tahu, selama mana yang aku mahu, apa yang aku fikirkan adalah apa yang aku mahukan. Apa yang aku inginkan. Apa yang aku impikan.

Mengapa aku tidak pernah fikir apa yang orang lain mahukan, apa yang benda lain mahukan, apa yang mereka mahukan, apa yang Dia mahukan.

Aku termenung kembali.

Aku ini adalah amat sombong. Terlalu sombong menghitung jari sendiri sehingga aku lupa apa yang aku hitung bukan kepunyaan aku.

Terlalu sombong menghimpun kemahuan sehingga aku lupa kemahuan itu adalah bukan matlamat aku.

Jari-jemari dan tangan yang bersambung dengan tubuh ini bukannya untuk menarik segalanya ke pangkuan aku. Mereka ini ada adalah untuk mengabdikan diri kepadaNya.

Amanah yang dipikul ini adalah untuk memberi kepada yang lain. Berikan kepada yang memerlukan ataupun yang tidak memerlukan.

Mengapa memberi pada waktu ada sekiranya ia tidak membebankan.

Berilah waktu tiada kerana pada waktu itu akan kita terasa.

Mengapa perlu ada perasaan memberi jika kita sedar segala apa yang kita ada bukan milik kita?

Begitu mudah untuk memperkatakan tetapi amat sukar untuk memperlakukan.

Apakah benar erti pengorbanan sekiranya kita tahu apakah balasannya?

Apakah Ibrahim tahu akan balasannya? Apakah Ibrahim mahu akan balasannya?

Aku berada di dalam satu alam pada mana ramai tidak faham apa yang diucapkan. Tidak faham apa yang dilafazkan. Apakah mereka itu seperti mana burung kakak tua yang berkata?

Cinta yang dilafaz bukan dengan pengertian yang satu.

Dan lafaz kalimah cinta agung tersebut adalah:

Aku bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah
dan Aku bersaksi Muhammad pesuruh Allah.