Monday, July 28, 2008

Sinar Yang Menghilang...

Lama aku berfikir, adakah aku ada apa yang aku fikir aku ada? Ataupun segalanya tidak lagi kekal seperti mana yang aku kehendaki. Kadang kala niat aku ikhlas untuk membantu, tetapi fikiran khalayak yang membuat aku malu. Adakah aku ingin membantu atau aku mencari satu yang lain. Pada mana bantuan aku tidak dipinta, aku memberi. Adakah aku membuat kerana nama? Adakah aku sendiri yang merasakan aku diperlukan. Ataupun roda dunia sudah berputar dan kini aku berada di titik yang paling bawah. Bila masa roda tersebut berpusing ke atas?

Aku tidak tahu. Aku tidak kisah pun sebenarnya. Hati yang tidak tenteram ini adalah kerana ia tidak berada di tempat yang sepatutnya. Aku kesal. Aku simpati.

Kepada siapa?

Mungkin kepada mereka yang melihat aku, ataupun kepada diri aku sendiri. Yang mana satu aku tidak dapat pastikan. Sering kali aku menyoalkan mengapa aku ditimpa beban sebegini? Mengapa kisah hidup aku tertulis begini? Aku mahukan yang lebih istimewa. Tetapi, adakah aku mencari yang teristimewa?

Aku tidak pernah terfikir pula begitu.

Adakah aku tidak bersyukur dengan apa yang ada? Aku ingin memelihara hidup aku sendiri. Tetapi aku perlu dahulu mengetahui siapa yang aku pelihara ini. Aku perlu kenal siapa aku. Kenal dengan serata-ratanya. Mengapa nafas yang dihela memberi nyawa kepada boneka ini?

Banyak persoalan yang perlu aku tanya sebelum ia dapat dijawab. Aku lihat dunia ini semakin perlahan. Hari-hari yang berlalu begitu perlahan. Pergerakan manusia begitu perlahan. Seolah-olah perlumbaan yang satu ketikanya pantas kini telah tiba ke puncak di mana setiap pelumba-pelumba telah letih dan lelah. Semakin lama semakin perlahan. Melodi hidup yang dilafazkan adalah sama setiap hari. Rutin harian bergerak tanpa banyak perubahan. Mungkin perubahan yang aku perlukan. Mungkin juga.

Matahari yang dahulunya mengkagumkan aku dengan sinarnya kelihatan biasa. Kerdipan bintang yang dahulunya mempersonakan kini menjadi biasa. Segalanya telah hilang sentuhan istimewa mereka. Ke mana hilangnya nikmat kehidupan? Aku terus mencari. Aku percaya, kalau aku terus mencari sekurang-kurangnya jika aku tidak jumpa aku tahu aku mencari. Kalau aku tidak mencari, apakah sianya hidup aku ini.

Ilmu yang disertakan dengan amal adalah apa yang patut aku lakukan selama ini. Aku masih terfikir lagi setelah amal apa pula yang patut aku capai. Mungkin keikhlasan. Mungkin pada masa itu, mungkin sinar yang hilang itu akan kembali memenuhi hati yang kelam ini.

Mungkin.

Aku mahu terus mengharap. Sekurang-kurangnya itu sahaja yang aku ada.


2 comments:

Apizolla said...

artikel yg penuh dengan jiwa...cool..

orang jauh said...

Pergh... Lu nampak jer camtu, tapi hati lu syahdu beb. Terima kasih kerana bagi gua berpikir. Nanti gua sampai serdang gua kontek lu. Seni beb. Keep on writing...