Monday, July 28, 2008

Sinar Yang Menghilang...

Lama aku berfikir, adakah aku ada apa yang aku fikir aku ada? Ataupun segalanya tidak lagi kekal seperti mana yang aku kehendaki. Kadang kala niat aku ikhlas untuk membantu, tetapi fikiran khalayak yang membuat aku malu. Adakah aku ingin membantu atau aku mencari satu yang lain. Pada mana bantuan aku tidak dipinta, aku memberi. Adakah aku membuat kerana nama? Adakah aku sendiri yang merasakan aku diperlukan. Ataupun roda dunia sudah berputar dan kini aku berada di titik yang paling bawah. Bila masa roda tersebut berpusing ke atas?

Aku tidak tahu. Aku tidak kisah pun sebenarnya. Hati yang tidak tenteram ini adalah kerana ia tidak berada di tempat yang sepatutnya. Aku kesal. Aku simpati.

Kepada siapa?

Mungkin kepada mereka yang melihat aku, ataupun kepada diri aku sendiri. Yang mana satu aku tidak dapat pastikan. Sering kali aku menyoalkan mengapa aku ditimpa beban sebegini? Mengapa kisah hidup aku tertulis begini? Aku mahukan yang lebih istimewa. Tetapi, adakah aku mencari yang teristimewa?

Aku tidak pernah terfikir pula begitu.

Adakah aku tidak bersyukur dengan apa yang ada? Aku ingin memelihara hidup aku sendiri. Tetapi aku perlu dahulu mengetahui siapa yang aku pelihara ini. Aku perlu kenal siapa aku. Kenal dengan serata-ratanya. Mengapa nafas yang dihela memberi nyawa kepada boneka ini?

Banyak persoalan yang perlu aku tanya sebelum ia dapat dijawab. Aku lihat dunia ini semakin perlahan. Hari-hari yang berlalu begitu perlahan. Pergerakan manusia begitu perlahan. Seolah-olah perlumbaan yang satu ketikanya pantas kini telah tiba ke puncak di mana setiap pelumba-pelumba telah letih dan lelah. Semakin lama semakin perlahan. Melodi hidup yang dilafazkan adalah sama setiap hari. Rutin harian bergerak tanpa banyak perubahan. Mungkin perubahan yang aku perlukan. Mungkin juga.

Matahari yang dahulunya mengkagumkan aku dengan sinarnya kelihatan biasa. Kerdipan bintang yang dahulunya mempersonakan kini menjadi biasa. Segalanya telah hilang sentuhan istimewa mereka. Ke mana hilangnya nikmat kehidupan? Aku terus mencari. Aku percaya, kalau aku terus mencari sekurang-kurangnya jika aku tidak jumpa aku tahu aku mencari. Kalau aku tidak mencari, apakah sianya hidup aku ini.

Ilmu yang disertakan dengan amal adalah apa yang patut aku lakukan selama ini. Aku masih terfikir lagi setelah amal apa pula yang patut aku capai. Mungkin keikhlasan. Mungkin pada masa itu, mungkin sinar yang hilang itu akan kembali memenuhi hati yang kelam ini.

Mungkin.

Aku mahu terus mengharap. Sekurang-kurangnya itu sahaja yang aku ada.


Wednesday, July 23, 2008

Mana Hilangnya Akal?

Setiap yang berlaku di dalam hidup kita ada hikmah di sebaliknya. Aku percaya tentang perkara ini, dan aku sedar tentang kebenaran perkara ini. Tetapi setiap kali aku mengucapkan perkataan ini adakah aku betul-betul memaksudkannya, ataupun sekadar menjadi permainan lidah yang ingin menjual nasib. Aku termenung sebentar, biar kelakuan yang menjadi contoh. Biar mereka menilai aku setelah mereka kenali diri aku yang sebenar. Tetapi mengapa masih ada yang melihat serong terhadap aku?

Mengapa setiap kali orang rapat dengan aku sering mengeluarkan ayat pernyataan seperti ini "Aku tidak sangka engkau sebegini rupanya". Sering aku tersenyum mendengar ucapan tersebut. Aku hairan dan sering kali menduga, bagaimana mereka boleh menilai tanpa mengenali diri aku ini. Mengapa mereka meletakkan batu hukuman di atas bahu aku padahal mereka tidak tahu apa yang mereka tahu.

Siapakah yang zalim?

Aku yang mengimejkan diri aku seperti tersebut, ataupun mereka yang menilai sebelum pasti?

Aku hairan, ke mana hilangnya akal yang dicipta untuk menduga dan mana hilangnya hati untuk menilai?

Aku menjadi serba salah. Aku tidak mahu yang lain menanggung kesalahan kerana persepsi mereka salah. Ataupun aku patut memberitahu kepada setiap insan yang kenal tentang diri aku perkara yang sebenar. Aku buntu.

Mungkin, apa yang mereka lihat adalah diri aku yang sebenar, dan apa yang mereka fikir mereka tahu tentang aku bukannya diri aku sebenar.

Lama aku berfikir, tetapi setelah itu seorang yang tidak aku kenal berkata kepada sahabatnya yang juga aku tidak kenal.

"Takkan laut nak surut baru kita tahu ada batu karang di dasarnya"

Cukup ringkas dan cukup bermakna.

Dan aku tersenyum kembali. dan aku terngiang kembali ayat yang selalu aku sebut

Setiap kejadian ada hikmahnya.

Thursday, July 10, 2008

Bila Aku Menoleh Ke Belakang...

Setiap ketika bila aku keseorangan, aku sering kali menoleh ke belakang. Kadang kala untuk melihat sesuatu yang tidak ada ada tempatnya. Setiap kali aku menoleh aku berharap sangat apa yang aku lakukan dahulu tidak berlaku. Setiap kali aku menoleh, aku berharap sesuatu yang lain berlaku. Apa yag aku lihat kadang kala tidak kesampaian. Adakah aku kerap menoleh ke belakang sehingga tiang di hadapan aku langgar. Atau pun, perlu aku toleh untuk belajar sesuatu yang tidak perlu aku tahu. Kadang-kala aku menoleh dan lihat sesuatu yang aku tidak suka. Aku toleh dan lihat ke mana perlu aku pijak di hadapan. Mengapa setiap perkara yang di toleh itu aku mengharapkan sesuatu yang lebih baik berlaku. Kerana aku mahu ingat yang di belakang akan terus berada di belakang. Ataupun aku perlu hiraukan yang di hadapan. Yang mana satu harus di beri perhatian.

Manusia sering kali melihat perkara yang mereka mahu lihat. Manusia sering kali melihat yang diri mereka tahu tentang segalanya. Susah untuk mengatakan yang dilihat itu adalah sekadar ego semata. Ke mana harus dituju kalau setiap masanya setempat. Ke mana harus dituju kalau tidak ke hadapan. Ke mana yang mereka pilih. Setiap kali aku menoleh, aku terlepas pada mana yang boleh aku dapat di hadapan. Pada mana aku toleh, aku tidak pernah bersedia pada mana yang di hadapan. Pada mana aku toleh, aku tidak ingin menoleh ke hadapan kembali.

Manusia sering mendapat kepuasan daripada kegagalan orang lain. Manusia sering kali mendapat kebahagiaan dari kebodohan orang lain. Dengan itu, mereka dapat rasakan yang mereka adalah sesuatu. Dengan itu, mereka fikir mereka perlu. Dengan itu, mereka fikir mereka signifikan. Mentertawakan kebodohan orang lain merupakan suatu nikmat bagi kepandaian mereka. Ke mana kita akan pergi kalau tidak ke hadapan.

Cuba sejenak anda toleh ke belakang, sudah tentu orang yang akan anda tertawakan adlah tidak lain dan tidak bukan diri anda sendiri.

Manusia sering kali fikir tentang perkara yang mereka tidak tahu. Dengan sedemikian, mereka akan mendapat ilusi yang mereka tahu. Dengan tahu tentang sesuatu tersebut mereka akan memperoleh ilusi kawalan. Dengan ilusi kawalan meraka akan memanjat tangga hierarki darjat. Begitu bahagia melihat tapak kaki mereka berdiri di atas kepala-kepala yang lain. Tetapi pada dasar, mereka masih lagi dalam ilusi mereka sendiri.

Maka pemberian Pemelihara kamu yang manakah kamu mendustakan?