Saturday, March 29, 2008

Cerita dari Sang Bangau I

Seekor bangau terbang merentas sebuah negeri. Padakala mana, tiba-tiba sahaja matanya tertarik kepada segerombolan manusia yang sedang berkumpul beramai-ramai di atas sebuah bukit. Bangau tersebut memerhatikan tingkah laku manusia-manusia tersebut dari sebuah dahan dari sebuah pokok yang rimbun.

Dengan diam, bangau tersebut memerhatikan manusia-manusia tersebut.

Tumpuan bangau tersebut adalah kepada seorang tua yang duduk di atas sebuah singgahsana besar yang diperbuat daripada kayu-kayu yang berliuk-liuk. Duduk si tua itu dengan diam serta jaritelunjuk kanannya menekan hujung kening seolah-olah sedang berfikir. Matanya tertutup rapat dan dadanya naik turun dengan rima yang tenang.

Di sebelah si tua tersebut, seorang anak muda berdiri tegap. Matanya liar memandang ke arah manusia-manusia yang berada disekelilingnya. Apa yang menghairankan si bangau tersebut adalah pakaian si muda itu. Pada sebelah kanannya pakaiannya adalah seolah-olah jubah. Bersih, putih dan tanpa sebarang kekotoran. Tetapi pada sebelah kirinya pula adalah compang-camping. Kain pakaiannya rabak sehingga ke lutut dan berlubang-lubang. Comot sekali jika seseorang memandangnya dari sebelah kiri.

Namun begitu, sesekali anak muda tersebut membisikkan kata-kata kepada si tua. Si tua mengangguk faham. Sebentar kemudian si tua pun mnyampaikannya kepada manusia-manusia lain.

Si bangau terbang dengan perlahan untuk hinggap ke dahan yang lebih hampir untuk mendengarkan kata-kata si tua tersebut.

'Ayuh, kita bersatu' kata si tua lalu diam.

Si muda membisikkan lagi.

'Bersatu membina bangsa.' dan si tua itu diam kembali.

Apa yang menghairankan si bangau adalah kumpulan manusia yang lain. Mereka bersatu tetapi mereka berdiri bukan sebagai satu. Di barisan hadapan adalah mereka yang telah berumur. Di sebelah kiri adalah kumpulan manusia dari kaum hawa. Dan jauh dari pandangan mata si bangau tersebut adalah kumpulan yang muda-muda belaka.

Sering kali anak-anak muda tersebut menolak-nolak untuk ke hadapan. Tetapi setiap kali itu, yang tua menepis.

'Sabar. Nanti kami akan beritahu. Ikut sahaja ya.' Kata-kata yang sempat si bangau menangkap.

Si bangau mengalihkan pandangannya ke belakang. Dan sekali lagi ia menjadi hairan. Ini sekumpulan manusia lagi yang irasnya sama tetapi rupanya berbeza. Seolah-olah di letakkan cermin di belakang si tua tersebut untuk memantulkan kembali dengan apa yang ada.

Cuma yang berbeza adalah kedudukan mereka sahaja. Yang tua berada jauh dan yang muda berada hampir. Yang hawa di sebelah kanan dan yang adam di sebelah kiri.

Si bangau semakin hairan. Apa yang sedang berlaku sebenarnya? Tatkala si bangau memikirkan jawapannya, tiba-tiba muncul pula seorang lelaki yang amat hodoh rupanya. Badannya berbongkok tiga dan senyumannya herot. Namun begitu, pakaiannya pula indah sekali. Cantik berseri. Apabila si hodoh itu lalu di hadapan singgahsana si tua. Hampir semua kumpulan manusia mencemuhnya.

Si hodoh itu tidak memperdulikan mereka. Lalu ia berjalan melintasi singgahsana tersebut untuk menghadap kumpulan yang membelakangkan singgahsana tersebut.

Sungguh si bangau tidak menyangka bahawa si hodoh itu disambut dengan begitu meriah. Namanya dilaungkan berkali-kali dan gambarnya diusung ke sana ke mari. Si hodoh ini siapa? fikir si bangau. Si muda yang berpakaian pelik tersebut tiba-tiba sahaja melangkah ke arah si hodoh. Mukanya bengis sewaktu meninggalkan si tua itu. Selangkah cuma, tiba-tiba riak mukanya berubah. Tersenyum riang menyambut si hodoh. Si hodoh itupun menyambut riang juga.

Apa ertinya semua ini? Si bangau terfikir lagi.

4 comments:

Anonymous said...

nampaknya ko dah tak pedulik pasal blogni lagi ye, tapi aku harap ko masih peduli dengan apa yang sepatutnya ko peduli.

pakcik said...

hehe..hambik ko,ade org suda warning..heheh..

ijad said...

selain bangau citer apa lagi...

Anonymous said...

kenapa tak dibuat cerita ayam berlaga ka, rama-rama,pepatung ka, ini apahal pasal belacan pun nak memancung mancung.