Monday, July 24, 2006

Ilmu dan Mahasiswa

Aku ni masih lagi bergelar mahasiswa walaupun dah masuk 5 tahun kat U.
5 tahun.
Lama tu.
Apa yang aku dapat sepanjang 5 tahun ni?
Apa?
Kalau difikirkan kembali, 5 tahun tu satu jangka masa yang lama untuk seseorang berada di dalam universiti. Kalau doktor, 5 tahun adalah normal. Tapi itu doktor.
Mei 2001, pada masa tersebut mahasiswa tahun 5, tahun 6 adalah perkara biasa. Extend pengajian adalah perkara normal. Jarang-jarang sekali kedengaran sesiapa pun yang tidak extend. Jarang-jarang kedengaran sesiapa pun yang gagal dalam subjek itu ini.
Tetapi pada masa kini, segalanya menjadi vice-versa. Yang extend jarang-jarang diketemui. Yang gagal subjek, halus-halus kedengaran.
Masyarakat Malaysia kini sudah menjadi lebih bijak. SPM 10A bersepah di jalanan. Lambakan 3.00 CGPA sekarang ini di pasaran pekerjaan. Bagus. Cantik. Sistem pendidikan Malaysia berjaya melahirkan mereka yang mengikut profile.
Betul ke?
Kalau begitu, persaingan mencari pekerjaan menjadi semakin sukar. Yang terbaik antara terbaik sahaja yang akan mendapat pekerjaan. Yang mana di bawah standard, usaha kenalah berlipat kali ganda. Kalau yang mana dapat pekerjaan setelah 2 atau 3 interview, mereka kenalah pergi 4 atau 6 interview.
Indah khabar dari rupa.
Bagaimana pula kes seorang graduan yang mempunyai CGPA kurang daripada standard masa kini boleh mendapat pekerjaan lebih mudah daripada mereka yang cemerlang dalam akademik. Apa yang membezakan graduan ini?
Mentaliti.
Apa yang dapat dilihat sekarang ini, tempoh 3 tahun di Universiti melahirkan graduan yang tidak matang. 3 tahun berada di Universiti mungkin tidak cukup. Mungkin. Masa ataupun inti pati pendidikan itu sendiri?
Bagi aku, sistem pendidikan di universiti adalah linear. Buku panduan diberikan, daftar yang mana tertera sajalah. Pengalaman dibukukan. Mentaliti dibukukan. Pemikiran dibukukan. Tingkah laku dibukukan. Keputusan dibukukan.
Yang mana tidak terkandung di dalam buku adalah tidak perlu.
Mahasiswa kini hanya terima apa yang dimuntahkan oleh para pensyarah dan apa yang terkandung di dalam buku-buku teks. Mereka tidak dapat membuat keputusan yang pada mana tidak terkandung di dalam buku atau nota pensyarah. Mereka akan teragak-agak dengan apa yang mereka fikirkan betul kerana apa yang mereka fikirkan tidak mempunyai manual. Mereka menjadi lambat. Mereka menjadi kurang agresif. Negativiti. Negativiti. Negativiti. Hafal dan faham adalah dua perkara yang berbeza. Mereka yang faham dan mereka yang menghafal.
Sekiranya jika kita lihat dalam percambahan masyarakat kini. Ibu bapa mendidik mereka supaya mereka mendapat keputusan yang cemerlang dalam ujian. Guru juga sedemikian. Ujian mesti dapat A. Caranya? Hafal. Ingat satu persatu apa yang terkandung dalam buku. Ingat apa yang guru ajar. Faham? itu perkara yang kedua. Hafal dulu, faham kemudian. Hafal soalan, hafal jawapan. Janji dapat A dalam ujian. Habis ujian? Nak lupa pun tak kisah. The corruption of learning.
Sikap sedemikian telah terbawa-bawa ke dalam institusi pendidikan tinggi. Minggu depan ada ujian. Seminggu ini kenalah duduk di bilik untuk baca buku. Benda-benda lain lepas ujian. Bukannya masuk ujian pun benda-benda lain.
Bagi aku, universiti ini adalah satu dunia lain dari apa yang terdapat di luar sana. Apabila seseorang tersebut mula bergelar graduan, dia tidak lagi tertakhluk lagi kepada environment luar. Tiket mahasiswa itu adalah amat besar. Limitless boundaries of learning. Ilmu-ilmu luar kuliah menjadi tidak lagi releven dalam hidup mereka.
Tetapi ilmu yang berada di luar kuliah inilah yang menjanjikan survival apabila bergraduat kelak. Ilmu luar kuliah inilah yang menjadi perbezaan antara graduan tersebut yang dinyatakan sebentar tadi. Ilmu luar kuliah yang tidak menjanjikan gred dalam transkrip akademik inilah yang boleh membezakan antara 2 graduan. Ilmu luar kuliah yang tidak boleh menaikkan CGPA inilah yang membolehkan seseorang itu yakin. Yakin terhadap diri sendiri. Yakin walaupun perkara tersebut tidak terkandung di dalam buku-buku teks ataupun nota pensyarah.
Hanya 30% yang anda pelajari di dewan kuliah itu dipergunakan di dalam pekerjaan. 70% lagi? Itu kena cari sendiri. 70% lagi berada di sekeliling kita. Cuma menunggu untuk disambar oleh mereka yang ingin belajar.
Bukannya aku suruh mereka yang lain extend. Bodoh namanya tu. Macam aku. Tetapi apa yang aku harapkan mereka dapat bergraduat dalam tempoh 3 tahun ini dapat capai segala ilmu yang dihajati. Bukan sekadar mendapat A, tetapi dapat berfikir. Fikir. Itu cerita lain.
Banyak perkara semasa bergelar mahasiswa ni aku dah dapat lihat, rasa dan melalui. Yang boleh aku katakan, 5 tahun aku di UPM tak sia-sia. Setiap kejadian itu ada hikmahnya. Tetapi, cukuplah. Dah tiba masa aku untuk bergraduat. Tulis macam mana pun kalau tak dapat segulung ijazah, baik tak payah.
Cakap pandai ah, buat tengok.

Thursday, July 20, 2006

Orang Gila Di Pagi Khamis

Gila? Mungkin kot

Ntah ler, aku lebih suka lihat dari sudut yang berbeza sudut 90 darjah ker, 114 darjah ke, ikut suka aku. Tapi tak ramai nak tengok ikut 'view' aku.

Dalam turun-temurunnya keMelayuan yang kita warisi, Melayu telah berevolusi dari satu bangsa yang menganut agama Hindu sehinggalah ke zaman kegemilangan Islam di Nusantara. Bangsa Melayu yang sememangnya terkenal dengan sifat pemalu, sopan-santun, susila dan sebagainya. Sehinggakan digelar adab orang Timur. Betul ke kita pemalu, betul ke kita sopan, betul ke kita santun, dan betul ke kita sebagainya.

Satu ketika dahulu mungkin perkara ini benar. 'Mungkin' di gunakan sebagai istilah kerana aku tak hidup zaman tu, natijahnya, tak tahu la aku. Sejarah? Aku kurang percaya kat sejarah. "History is but a fable agreed upon". Translasinya ; Sejarah adalah cerita yang dipersetujui ramai.

Kalau dilihat pada konteks kehidupan sekarang, Melayu dahulu bukan lagi Melayu sekarang. Seolah-olah menjadi dua kaum yang berbeza. Kalau dahulu keris menghiasi pinggang, sekarang telefon bimbit. Kalau dahulu kain samping yang menjadi ikatan pinggang, sekarang rangkulan anak gadis melilit pinggang menjadi perhiasan. Banyak lagi contoh. Fahamkan sendiri sajalah.

Melayu hanya tinggal pada nama, Melayu hanya tinggal pada tradisi.

Kalau ada majlis kenduri, baru jadi Melayu. Kalau nak bernikah, baru jadi Melayu. Selain daripada waktu-waktu tersebut, siapa Melayu? Kalau hendak dikatakan darah Melayu, darah orang Arab, darah orang putih, sama sahaja warnanya. Kalau hendak dikatakan pertuturan, Bangla dan Indon juga boleh berbahasa Melayu sekarang ni. Apa yang tinggal pada Melayu

Apa yang tinggal yang kita hendak mengaku Melayu. Jawapannya ; kad pengenalan. Kat situ ada terpaparnya perkataan Melayu. Jadi, kita Melayu kerana perkataan Melayu tertera?

Ramai yang tak sedar yang kita ini sudah makin kehilangan sifat KeMelayuan kita setiap hari. Kalau kita katakan, mana datangnya perkataan Melayu itu sendiri, ramai orang Melayu tidak tahu.
Mengikut Sejarah Jambi, perkataan Melayu tersebut berasal daripada sebatang sungai yang bernama Sungai Melayu yang terletak berdekatan dengan Sungai Batang Hari yang terletak di Muara Jambi, Jambi. Yi Jing (635-713) telah menyatakan di dalam jurnal beliau bahawa terdapat sebuah kerajaan yang di panggil Ma-La-Yu pada lewat kurun ke-7. Itulah asal Melayu.
"Ah, bukannya ada kaitan dengan aku pun." ataupun "Pedulik hapa aku" fikiran tipikal orang Melayu sekarang.
Melaung sana-sini mengatakan kita Melayu, tetapi asal Melayu sendiri tidak tahu.
Aku sokong apa yang ex-PM pernah cakap. "Melayu Mudah Lupa"
Contoh mudah:
Setiap kali aku melihat gadis Melayu kita berpakaian kurang kain, aku mengaku juga yang aku suka tengok. Seronok juga. Bagi aku, orang dah bagi, kita terima saja. Tetapi kekadang terfikir juga, ikut suka dia orang la nak pakai macam mana pun. Bukannya kacau aku. Tetapi kasihan juga, Melayu. Kasihan dekat orang Melayu tetapi tidak Melayu. Mungkin mereka tidak bangga dilahirkan Melayu. Mungkin mereka lebih suka kalau dilahirkan sebagai Orang Eropah, Orang Amerika, Orang Asli Afrika. Mungkin. "Melayu Mahu Lupa"
Aku tak mahu tulis tentang hebatnya bangsa Melayu itu sendiri, kerana majoriti Melayu kini sudah tidak ada apa yang hendak dihebatkan. Minoriti? Harapan itu indah daripada realiti.
Hang Tuah mungkin tersilap. Melayu mungkin hilang di dunia.
Aku? Harap-harap apa yang Tuah cakap itu betul. Itu sahaja.